fbpx

Dewasa ini isu pengunaan masa menjadi perbualan hangat masyarakat. Terdapat banyak pengkaji yang berusaha untuk menyelesaikan masalah penggunaan masa tetapi terdapat segelintir masyarakat yang menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai cukup masa dalam kehidupan mereka. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Dalam hal ini timbul tanda tanya adakah manusia boleh mengatasi masalah berkaitan dengan masa? Bolehkah masa diurus dengan efektif dan berkesan? Sudah pasti kepada kita bahawa hakikat masalah pengurusan masa adalah sesuatu yang amat sukar diurus dengan efektif secara seratus peratus tetapi kita boleh meminimakan kesalahan dalam penggunaan masa.

 

Ramai dikalangan masyarakat menyatakan bahawa masa yang dipunyai oleh mereka tidak mencukupi. Justeru itu, mereka gagal dalam banyak perkara. Keluhan-keluhan yang tidak membina tersebut menyebabkan kita berada pada tahap lama dan tidak bertindak. Alasan inilah yang menyebabkan kita berada dikepompong tersebut. Oleh sebab itu, kita seharusnya memberi perhatian kepada kedua perkara iaitu kuantiti masa yang kita gunakan.

 

Masa sama ada diguna atau tidak hakikatnya ialah kita mesti gunakannya. Dalam hidup kita seharian, tidak boleh kehilangannya walaupun sesaat. Itulah masa yang kita gunakan, yang kita belanjakan setiap hari. Masa tidak mengenai pangkat atau darjat seseorang. Sama ada kita sibuk atau mempunyai masa yang terluang, masa tetap berlalu, masa tetap kita gunakan, masa tetap bersama kita dan masa tetap 24 jam sehari.

 

Masa adalah dikongsi bersama. Manusia hakikatnya melaksanakan aktiviti berlainan tetapi menggunakan waktu yang sama dan kadang-kadang melaksanakan aktiviti serupa pada masa yang sama.

 

Tabiat negatif seseorang perlu dibuang dalam diri sendiri. Jika selama ini kita merupakan seorang yang selalu menangguhkan kerja maka kita perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini. Misalnya, sebagai pekerja, tugasan yang diberikan oleh majikan perlu disiapkan secepat mungkin. Kadang kala terdapat individu yang melakukan tugas secara minit terakhir maka tabiat ini perlu diperbaiki.

 

Seterusnya, cara kita menghabiskan masa banyak mengikut kebiasaan. Kebanyakkan orang tidak sedar tentang cara penggunaan masa yang berkesan. Cara anda menghabiskan masa menentukan anda menjalani kehidupan dan itulah diri anda sebenarnya. Hari esok berkaitan dengan hari ini sama seperti hari ini berkaitan dengan semalam. Belajar mengawal masa anda bermakna mengubah sesetengah kebiasaan penggunaan masa anda. Tetapi anda tidak mengubah kebiasaan penggunaan masa sebelum anda terlebih dahulu mengetahui kebiasaan itu.

 

Kebanyakan manusia tidak begitu memikirkan matlamat. Kita cuma bergerak balas atau berinteraksi terhadap tekanan daripada orang atau benda lain. Jika kita mahu mengawal masa kehidupan kita sendiri, kita mestilah memutuskan matlamat kita. Orang lain tidak dapat melakukan untuk kita.

 

Rancang masa anda dengan menetapkan matlamat iaitu tentang perkara yang hendak kita buat yang dibahagikan kepada matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Matlamat yang hendak dicapai haruslah khusus, iaitu dipecah bahagikan kepada objektif yang konkrit, di samping boleh dicapai dengan munasabah.

 

Secara keseluruhannya pengurusan masa bukanlah mudah seperti yang kita sangkakan. Ramai di kalangan individu sering mengabaikan kepentingan penggunaan masa hingga mereka berpendapat bahawa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi dalam kehidupan harian mereka. Hanya dengan pengurusan masa yang berkesan barulah kita dapat memanfaatkan penggunaan masa dengan maksima.

 

Sejak akhir-akhir ini, ramai individu yang telah sedar tentang kepentingan pengurusan masa dan berusaha untuk mengurus masa dengan baik. Diharapkan dengan terhasilnya artikel ini maka ramai individu yang akan mendapat manfaat daripadanya.

 

 

 

Bijak Mengurus Masa