SETIAP anak WAJIB berbakti dan mentaati ibubapa demi membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Kedua-dua ibubapa kita boleh membesarkan kita dengan penuh kasih sayang sehingga kita mampu berdikari dan berjaya dalam hidup. Apatah lagi jika dikira dengan jumlah wang ringgit yang dibelanjakan, penat lelah, keringat dan masa sehingga kita mencapai umur 20an, kita sebagai anak tidak mampu berbakti kepada mereka menghabiskan sisa-sisa hidup mereka dengan aman dan penuh kemanisan.
Itulah sebabnya Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia hatta jika kita sebelum ini seorang yang bukan Islam sehingga memeluk Islam sekali pun, kita perlu mentaati mereka tanpa syak wasangka. Sebenarnya, banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata. Malah, ianya merangkumi hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan oleh setiap insan bernama ANAK.
Antara bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa mereka ialah:
Memberi nafkah :
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa.
Menyediakan tempat tinggal :
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa. Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
Bercakap dengan lemah lembut :
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa :
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya. Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.
Semoga kita adalah antara orang yang tidak melupakan ibu bapa demi kejayaan kita dalam hidup dunia akhirat.
Salam Kejayaan.